Monday, November 30, 2009

November Rain









Alhamdullilah!
Bulan November bulan penuh dengan hujan. Hujan rahmat. Terima kasih buat sekian alam dan makhluk-makhlukNya yang baik hati. Syukur yang tidak terhingga buat Maha Pencipta Dunia, Allah yang Esa. Sesungguhnya ini memang bulan kesyukuran dan penuh pengorbanan. Hanya mereka yang memahami erti korban itu bisa merasainya. Semoga kita selamat dan dimurahkan rezeki hendaknya. Ya Tuhan semoga kebahagian yang kau berikan ini adalah untuk selamanya.

Monday, November 2, 2009

Naga Pulau Berjuang


Pada zaman dahulu, di Pulau Perhentian tinggal seekor naga yang sangat besar. Naga itu dikenali dengan panggilan Naga Pulau Berjuang. Ia tinggal di satu tempat yang sekarang ini dikenali dengan Tanjung Basi, Pulau Perhentian Besar. Pada satu ketika, Naga Pulau Berjuang turun ke laut kerana berjuang menentang seekor naga lain yang cuba mengganas dan menenggelamkan Pulau Perhentian. Tempat naga itu turun meninggalkan kesan di atas bukit Pulau Perhentian. Jalan yang dilalui oleh naga itu sekarang ini dikenali dengan nama Jalan Naga.

Ya. Tak dinafikan aku memang cepat terpengaruh, apatah lagi dengan cerita-cerita mitos sebegini. Jadi kawan-kawan ada yang berani tak nak ke Pulau Perhentian bersamaku pada bulan March 2010 ni. Jom kita jadi ‘Naga Pulau Berjuang’ di Jalan Naga.

Sunday, November 1, 2009

Jiwa Kacau

Kesepian adalah punca segala kesialan
Menagih kasih mengisi kekosongan

Resah gelisah dibuai ketagih cinta
Penuh rasa jiwa gejolak asmara

Dahagakan seteguk dara setiap malam
Kau hisap segalanya dalam-dalam

Lapar nafsu di kamar yang usang
Hei! Kau manusia bukan binatang

Wednesday, October 28, 2009

Kisah Adam&Lisa

Adam seorang lelaki moden metropolitan yang serba lengkap segalanya. Walaupun tidaklah sekacak mana tetapi penampilannya terjaga. Kerja dia adalah sebagai jurukamera berijazah. Gajinya mengikut paras graduan lepasan ijazah RM1,800 minimum sebulan. Kerana berstatus fresh graduate dan bekerja di syarikat swasta tempatan maka kadang-kadang gajinya masuk agak lambat dan selalu juga boss minta simpati lewat sikit bayar gaji. Namun Adam seorang lelaki yang kental dan tegar dia tidak peduli walaupun dia selalu bersungut sendirian tapi dia tetap kerja dengan ikhlas.
Lisa seorang wanita aktif yang gemarkan aktiviti lasak walaupun jiwanya sensitif. Kerjanya adalah sebagai cikgu lukisan di sebuah sekolah menengah swasta. Gaji Lisa selalu keluar tepat pada masanya. Namun kerana dia hanya cikgu seni maka gajinya juga tidak lebih dari RM1,800 setiap bulan.
Walaupun hidup biasa-biasa Adam & Lisa tetap bahagia hidup bersama berlandaskan cinta!
Pagi-pagi lagi Lisa sudah bangun menyiapkan sarapan untuk Adam. Lisa tahu Adam tak suka bersarapan tapi dia tetap bangun dan menyediakan segalanya kerana bagi Lisa hari yang indah bermula dengan pagi yang ceria bersama Adam.
Bila semua sudah sedia seperti biasa Adam akan menghantar Lisa ke Sekolah. Bila petang Lisa balik sendiri kerana selalunya Adam akan pulang lewat. Sementara tunggu Adam pulang, Lisa memenuhi masa dengan membasuh. Dan proses membasuh ini biasanya mengambil masa lama kerana Adam tidak suka bajunya dibasuh menggunakan mesin basuh cepat kembang dibahagian kolar katanya. Kemudian Lisa akan menyediakan makan malam untuk mereka berdua. Bab memasak yang paling digemari Lisa kerana Adam sangat mudah dalam memilih menu makanannya. Biasanya Adam hanya suka makan nasi goreng cina bersama telur mata, dan Adam menggelarkan makanan masakan melayu seperti gulai ikan masin masak lemak cili api atau gulai ikan patin tempoyak sebagai makanan exotic.
Melihatkan kesungguhan Lisa dalam menguruskan kehidupannya dengan Adam, dalam diam Adam selalu membuat kejutan untuk Lisa hanya untuk menunjukkan sayangnya Adam kepada Lisa. Dan Lisa sebagai perempuan yang terbiasa dengan sikap wanita masa kini sangat bahagia dimanjakan begitu oleh Adam.
Malam datang Adam pulang. Lepas Adam mandi mereka makan bersama seperti biasa. Sambil makan sambil cerita tentang hidup. Lepas makan Adam tolong Lisa mengemas. flat kotak yang disewa mereka RM600 sebulan itu ruangnya kecil sahaja jadi tidak banyak yang perlu dikemaskan. Walaupun sempit disitu mereka nampak dan rasa sangat selesa dan bahagia.
Cukup masa mereka ke bilik untuk beradu. Biasanya mereka tidak akan terus tidur kerana Lisa ada masalah tidak boleh tidur tanpa membaca buku atau berborak dengan Adam terlebih dahulu. Maka dalam gelap bilik itu Adam & Lisa berborak lagi.
Malam itu bila Adam sudah hampir terlelap tiba-tiba dengan tegas tapi penuh manja Lisa bertanya kepada Adam:
LISA: Sayang, Jom Kahwin!
Dalam gelap itu Adam masih terjaga, matanya tertutup tetapi fikiranya membayangkan perkara-perkara berikut;
Duit Hantaran Lisa seperti yang diminta oleh Mak Lisa RM 10,000 (minimum)
Duit kenduri kahwin untuk dua belah pihak RM 40,000
Duit barang-barang hantaran RM 5,000
Duit mas kahwin RM 80.00 (kan bagus kalau kahwin bayar mas kahwin je)
secara kasarnya untuk dapatkan Lisa menjadi suri rumah yang sah adalah RM 60,000!
Kalau ikut Adam dia nak kahwin RM 6,000 sahaja duit belanja. Tapi bila terbayang muka saudara-mara, mak yang garang, nenek yang tak boleh terlanggar adat, ayah yang terpaksa ikutkan kaum-kaum hawa maka jadilah ia RM60,000!
Bila hampir menjerit minda, hati dan mulut Adam, dia bersuara:
ADAM: Jom! Kalau awak berani kita kahwin lari!
Lisa tak berani terus diamkan diri!

------------------------------------------------------------

maksud KAHWIN itu bagi aku:
K - Kabul
A - Akad
H - Hak
W - Wajib
I - Ijab
N - Nasab

Boleh tak jangan susahkan benda yang senang!

Sunday, October 25, 2009

keroncong anak dara

subuh pergi terbit matahari
anak dara bangun awal pagi
bukan untuk bersolek berseri
sekadar cuci muka gosok gigi
ke dapur goreng nasi bancuh kopi

bukan senang menjadi anak dara
semua dilihat perlu baik belaka
paling utama hormat orang tua
pandai juga jaga maruah keluarga
kerja dapur dan rumah perlu tahu juga
walaupun sudah belajar di puncak menara

anak dara juga punya hati dan perasaan
bukan sekadar hendak menjadi dara pujaan
hendak juga berteman buat jalan-jalan
mahu juga mencari kawan cari pasangan
tapi apakan daya perigi tak boleh cari timba
kata nenek tunggu orang masuk meminang sahaja
ibu kata pilih yang baik dan berkerjaya
kata ayah kalau ada ayah nak jumpa dulu ya

wahai teruna kalau sudah bersedia
pergilah pada perigi jadilah timba
kuatkan hati jumpalah ayah si dara
carilah kerja dan pasti ibu kata Ya
masuklah meminang nenek mesti gembira
dan aku si anak dara tertunduk malu
mengangguk-angguk muka tanda setuju

Thursday, October 22, 2009

Ayah Nan Satu

Ayah aku
ayah nan satu
dalam beribu
Payahnya Ayah
bukan kepalang
mencari rezeki
hingga ketengah lautan
kalau disuruh ke kapal
berlayar ayah berbulan
kalau disuruh ke luar daerah
pergi ayah tanpa membantah

Ayah aku
ayah nan satu
dalam berjuta
susah mu ayah
hanya hatimu
yang rasa
sedihmu tidak keluar dimata
tapi ayah simpan di jiwa
ketabahan mu ayah
buat aku lebih betah
bekerja dan menerima
ragam manusia

Ayah aku
ayah nan satu
tidak ada gantinya ayah
walau sampai jasadmu
dimamah tanah
tetapku kenang jasa
tetapku ingat budi bicara
tetapku turut nasihatnya
tetapku tidur dengan bajunya
sebagai ganti penyedap hati
pengubat rindu jiwa yang pilu

Wednesday, August 26, 2009

MERDEKA dan konsep SATU MALAYSIA

Memandangkan merdeka akan tiba dalam beberapa hari lagi maka aku semakin galak untuk memahami apakah yang dikatakan dengan SATU MALAYSIA itu. Bukankah dari dahulu lagi MALAYSIA itu memang ada satu sahaja maka apa maknanya SATU MALAYSIA yang diwar-warkan diserata alam negaraku tercinta. Dari beberapa orang rakan sebaya, yang lebih muda mahupun tua semuanya memberi definasi yang berbeza-beza, macam mana hendak jadi SATU MALAYSIA jika definasinya sahaja mengikut kefahaman masing-masing sebagai individu. Ada juga yang mengatakan kalau kita melihat ianya sebagai satu benda yang mudah maka mudahlah jadinya.Tapi aku tak anggap benda ni mudah. Ini kerana banyak benda berlaku yang haram disisi negara sebelum ini menjadi halal atas dasar konsep SATU MALAYSIA. Aku rasa aku perlu tahu apa itu SATU MALAYSIA. Kalau benar rakyat diutamakan dan pencapaian didahulukan maka dimana aku berdiri sekarang kerana aku tak rasa diutamakan dan aku tak nampak pencapaianya. Kalau benar konsep SATU MALAYSIA itu benar-benar mengutamakan rakyat aku juga ingin ikut serta, tapi tidak pula dapat aku laungkan kempen itu diserata MALAYSIA kerana aku tidak jelas dengan konsep hala tujunya dan tidak ada satu 'nas' yang kuat boleh aku pegang sebagai satu benda yang boleh aku percaya dan berpijak dengan tegap diatasnya dan akan aku laungkan semangatnya. Maka apa kalian buat dengan meletakkan logo SATU MALAYSIA di website kalian mahupun cermin belakang kereta kalian, adakah kalian memang benar-benar faham atau sekdar ikut-kutan? Maaf buat masa sekarang aku memag tidak boleh 'beramal tanpa ilmu'. Salam MERDEKA dari ANAK SELEPAS MERDEKA.



p/s: Mungkin semua menteri-menteri harus tonton video di atas dan kalau boleh menari sekali tidak kira bangsa apapun. Lirik lagunya cukup simple tapi sempurna.P.Ramlee kerana inilah kau tiada gantinya dan menjadi Lagenda.